PENYERANG JDT, Pereyra
Diaz (kanan) dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia yang kini
dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez. - Foto Hairul Anuar Rahim
KUALA LUMPUR: Indonesia dikatakan mungkin menjadi destinasi
penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz selepas meninggalkan
kelab itu, kelmarin.
Menurut laporan football-tribe.com,
pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia
yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez.
Malah, portal berkenaan turut tidak menolak kemungkinan Diaz
berada dalam radar skuad terbabit.
"Diaz pernah dikaitkan dengan Persib sebelum ini, apabila
Mario Gomez dilantik sebagai ketua jurulatih. Gomez berkata bahawa beliau mahu
membawa masuk seorang penyerang import dan kebanyakan spekulasi pada masa itu
menyebut nama Jorge Pereyra Diaz," kata Ketua Editor Football Tribe Indonesia,
Isidorus Rio seperti yang dilaporkan football-tribe.com.
"Spekulasi itu tamat apabila Diaz membuat keputusan untuk
kembali beraksi bersama JDT. Bagaimanapun, nama Diaz sudah mula diungkit oleh
peminat Persib di Indonesia.
"Jendela perpindahan di Indonesia masih terbuka dan Persib
masih memerlukan seorang penyerang import. Malah, spekulasi turut mengatakan
bahawa pemain berstatus 'Marquee' di Persib, iaitu Michael Essien, mungkin
dijual atau dilepaskan dalam masa terdekat."
Menerusi kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari
ini, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa
menghilangkan diri sebelum kelab itu berlepas ke Vietnam, kelmarin.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar
pemain kelahiran Argentina itu bertindak meninggalkan kelabnya secara mengejut.
"Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain
kami, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12
tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk
perlawanan AFC.
"Ejen beliau sudah
menghubungi kami dan memberitahu mengenai niat pemain itu yang ingin
meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan untuk menghormati keputusan
itu dan membiarkan beliau pergi.
"Kami akan mencari
pengganti baru untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan
Jun nanti," kata Edwards.
Skuad JDT yang kini
dibimbing jurulatih sementara, Raul Longhi akan berdepan kelab Vietnam, Song
Lam Nghe An FC, esok bagi aksi kedua Kumpulan H, saingan Piala AFC.
Ulasan
Catat Ulasan