SELEPAS kehilangan ketua jurulatih Ulisses Morais, kelmarin,
Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menerima tamparan hebat apabila penyerang
mereka, Jorge Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab itu.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi kenyataan di
laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini mengesahkan pemain
kelahiran Argentina itu menghilangkan diri sebelum mereka berlepas ke Vietnam
untuk aksi Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, esok.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar
penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu bertindak meninggalkan kelab berkenaan.
“Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain kami,
Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah
malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk
perlawanan AFC.
“Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu mengenai
niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan
untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.
“Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu
untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” kata
Edwards.
Kelmarin, Morais mengumumkan peletakkan jawatannya selepas
sembilan bulan membimbing juara Piala Malaysia itu sejak Jun lalu atas faktor
kesihatan keluarga.
Namun, kekosongan yang ditinggalkan jurulatih kelahiran Portugal
itu kini sudah diisi penolongnya, Raul Longhi yang dilantik sebagai jurulatih
sementara oleh JDT, semalam.
Malah, kehilangan Diaz dilihat menambah satu lagi masalah buat
JDT dengan skuad itu kini sedang memburu kemenangan kedua berturut-turut dalam
saingan Piala AFC.
JDT
kini menghuni tangga teratas Kumpulan H selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas
kelab Indonesia, Persija Jakarta di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 14
Februari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan