Langkau ke kandungan utama

Diaz bakal bergabung dengan Gomez?

PENYERANG Johor Darul Ta'zim ( JDT), Jorge Pereyra Diaz (kiri)
PENYERANG Johor Darul Ta'zim ( JDT), Jorge Pereyra Diaz (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Mohamed Hisyamudin dalam perlawanan Liga Super yang berkesudahan JDT tewas 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz dikatakan bakal berhijrah ke kelab di Indonesia.
Menurut laporan football-tribe.com, penyerang berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan kelab Persib Bandung yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT iaitu Mario Gomez.
Portal turut tidak menolak kemungkinan Diaz berada dalam radar skuad terbabit.
“Diaz pernah dikaitkan dengan Persib sebelum ini, apabila Mario Gomez dilantik sebagai ketua jurulatih. Gomez berkata bahawa beliau mahu membawa masuk seorang penyerang import dan kebanyakan spekulasi pada masa itu menyebut nama Jorge Pereyra Diaz.
“Spekulasi itu tamat apabila Diaz membuat keputusan untuk kembali beraksi bersama JDT. Bagaimanapun, nama Diaz sudah mula diungkit oleh peminat Persib di Indonesia.
“Jendela perpindahan di Indonesia masih terbuka dan Persib masih memerlukan seorang penyerang import. Spekulasi turut mengatakan bahawa pemain berstatus ‘Marquee’ di Persib, iaitu Michael Essien, mungkin dijual atau dilepaskan dalam masa terdekat,” kata Ketua Editor Football Tribe Indonesia, Isidorus Rio seperti yang dilaporkan football-tribe.com.
Sementara itu, menerusi kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari ini dalam laman Facebook rasmi Kelab Bola Sepak JDT, JOHOR Southern Tigers, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa menghilangkan diri sebelum kelab itu berlepas ke Vietnam, kelmarin.
“Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.
“Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu mengenai niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.
“Kami akan mencari pengganti baru untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” kata Edwards.
Skuad JDT akan menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC, esok bagi aksi kedua Kumpulan H, saingan Piala AFC di bawah kendalian jurulatih sementara Raul Longhi. - UTUSAN ONLINE

Ulasan