Johor Bahru: Penyerang berpengalaman Persija Jakarta, Bambang
Pamungkas tidak menjangka Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan corak
permainan pantas hingga sukar untuk dibendung pada aksi di sini, malam
kelmarin.
Dalam aksi sulung Piala AFC bagi Kumpulan H itu, skuad Harimau
Selatan membenam kelab dari Indonesia itu 3-0 dalam saingan di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin.
Bagaimanapun, Bambang yang juga bekas penyerang import Selangor
menegaskan betapa usaha sudah dilakukan oleh barisan pemain Persija untuk
mengimbangi corak permainan pantas skuad kendalian Ulisses Morais itu.
Katanya, beberapa kesilapan mudah menjadi punca kekalahan
mereka.
“Kami sudah bekerja keras dalam perlawanan itu, namun kami agak
keletihan selepas baru saja beraksi pada separuh akhir Piala Presiden dan tidak
mendapat rehat yang cukup.
“Kami juga tidak menurunkan lima tonggak utama terutama tanpa
kelibat Marko Simic kerana fokus utama adalah persiapan aksi final Piala
Presiden, Sabtu ini dan kami terima kekalahan pertama pada saingan Piala AFC.
“Sebelum perlawanan ini, jurulatih (Stefano Cugurra) menyaksikan
perlawanan membabitkan JDT untuk mengkaji corak permainan pasukan itu. Namun
apa yang ditampilkan ketika menentang kami jauh berbeza hingga kami
terperangkap,” katanya.
Bambang juga menegaskan pemain JDT kerap menguasai permainan dan
sukar untuk dia dan rakan sepasukan menyusup masuk di kawasan kotak penalti.
Malah katanya, percubaan untuk melakukan serangan pantas sering
tersekat tatkala benteng JDT tampak sukar dilepasi.
Sementara itu, Cugurra optimis pemainnya akan bangkit untuk
memburu kemenangan pertama apabila berdepan Tampines Rovers di Stadium Gelora
Bung Karno, pada 28 Februari ini.
“Kami
tidak boleh tewas lagi dan akan memberi persembahan terbaik apabila melayan
kunjungan kelab dari Singapura. Pastinya saya akan turunkan kesebelasan terbaik
kerana ia penting bagi mengelak kekalahan kedua berturut-turut,” kata Cugurra.
Ulasan
Catat Ulasan