Apa punca Diaz tinggalkan JDT?


Pemain dari Argentina itu telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum JDT berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

JOHOR BAHRU - Selepas ketua jurulatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais mengumumkan meletak jawatan atas faktor kesihatan keluarga, penyerang pasukan itu  Jorge Pereyra Diaz pula dikhabarkan meninggalkan pasukan.
Pengarah Teknikal JDT  Alistair Edwards berkata pemain dari Argentina itu telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum JDT  berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Kami ingin memaklumkan kepada para penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12  tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.
"Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab," katanya menerusi entri terbaharu laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
Edwards berkata JDT memutuskan untuk menghormati keputusan pemain tersebut.
Katanya JDT akan mencari pemain import baharu bagi menggantikan Diaz apabila jendela perpindahan dibuka Jun depan.
Diaz kembali menyarung jersi JDT musim ini selepas meninggalkan kelab itu sebaik Liga Super Malaysia 2016 berakhir.
JDT akan bertemu kelab  dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC pada aksi Kumpulan H saingan Piala  AFC yang dijadualkan pada 3.30 petang (waktu tempatan) di Stadium Vinh, Vietnam, esok. - Bernama

Ulasan