ANTONIO
(kanan) yang baru pulih daripada kecederaan tekad membantu JDT menjulang banyak
trofi pada musim ini.
PEMAIN tengah Johor Darul
Ta’zim (JDT), Marcos Antonio berharap dapat membantu kelabnya meraih kejuaraan
sebanyak mungkin dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas kembali ke
arena ekoran rehat yang panjang akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL)
musim lepas.
Pemain berusia 34 tahun dari Brazil itu
yang menanduk gol kemenangan skuad Harimau Selatan 2-1 ke atas Kedah pada
perlawanan Piala Sumbangsih minggu lalu berkata, beliau gembira dapat kembali
beraksi buat pertama kali selepas direhatkan selama enam bulan akibat
kecederaan.
“Saya sangat gembira dapat menyumbat gol
kemenangan terutamanya kerana ia berlaku selepas saya baru pulih daripada kecederaan,
apatah lagi dapat menang satu lagi piala untuk diri sendiri dan JDT.
“Saya gembira kerana semua orang tahu saya
bekerja keras sepanjang enam bulan lepas sebagai persiapan menghadapi
perlawanan ini dan membantu kelab meraih satu lagi kejuaraan,” katanya yang
dipetik dalam satu temu bual yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi
JDT, Johor Southern
Tigers semalam.
Marcos tidak sabar untuk membantu skuad
Harimau Selatan itu mencapai sasarannya dalam Liga M khususnya mengekalkan
kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014.
Pemain berkaliber tinggi itu menikmati
musim yang gemilang sejak menyertai JDT pada 2014 termasuk bergelar juara Liga
Super empat musim berturut-turut, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC 2015),
Piala FA (2016) dan juara Piala Malaysia tahun lepas. – Bernama
Ulasan
Catat Ulasan