KUALA LUMPUR: Aksi
membabitkan pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur bertemu Johor Darul
Ta'zim (JDT) terpaksa ditangguhkan susulan masalah cuaca yang melanda Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Permukaan padang yang basah
susulan hujan lebat yang berterusan memaksa perlawanan terpaksa dihentikan
seketika pada minit ke-56 sementara menunggu pengumuman rasmi dibuat pada jam
10.50 malam.
Bagaimanapun, permukaan
padang yang dilihat tidak sesuai memaksa Komisioner Perlawanan, Zahrul Nizam
Salleh membuat keputusan untuk menangguhkan perlawanan dan aksi akan disambung
semula esok pada jam 4 petang di venue sama.
Situasi ini sudah pasti
sedikit melegakan juara Liga Super empat kali itu terutamanya selepas bergelut
untuk mencari rentak apabila perlu beraksi di atas permukaan padang yang
bertakung selain turut ketinggalan satu gol.
Pada aksi terbabit, pelawat
jelas mendominasi perlawanan yang menyaksikan penyerang importnya, Gonzalo
Cabrera menguji gawang Kuala Lumpur seawal minit ketujuh namun dinafikan
pertahanan sebelum sepakan gunting Luciano Figueroa tepat ke dakapan Kamarul
Effandi tiga minit berselang.
Kuala Lumpur yang sekali
sekala mengasak hampir mencemaskan JDT menerusi Paulo Josue namun percubaannya
nyata belum cukup mengugat gawang yang dikawal penjaga gol skuad Bawah 23 tahun
negara (B-23), Haziq Nadzli pada minit ke-16.
JDT mensia-siakan peluang
keemasan untuk mendahului perlawanan apabila gerakan Jorge Pereyra Diaz sekali
lagi menghuru-harakan benteng pertahanan Kuala Lumpur, namun percubaan Figueroa
tersasar meskipun gawang tuan rumah sudah terbuka luas pada minit ke-34.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur
yang lebih banyak bertahan mengejutkan JDT selepas penyudah kemas Josue berjaya
mengegar gawang pelawat di hujung babak pertama dan membolehkan tuan rumah
menuju ke masa rehat dengan kelebihan satu gol.
Babak kedua menyaksikan
kedua-dua terpaksa mengharungi perlawanan dalam hujan dan beraksi di atas
padang basah sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk
mendapatkan rentak perlawanan.
PERLAWANAN aksi Liga Super antara JDT dan
Kuala Lumpur ditangguh hingga esok akibat hujan lebat di Stadium Cheras. - Foto
Eizairi Shamsudin
Ulasan
Catat Ulasan