AKSI membabitkan pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur
bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa ditangguhkan susulan masalah cuaca
yang melanda Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Permukaan padang yang basah susulan hujan lebat yang berterusan
memaksa perlawanan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-56 sementara
menunggu pengumuman rasmi dibuat pada jam 10.50 malam.
Bagaimanapun, permukaan padang yang dilihat tidak sesuai memaksa
Komisioner Perlawanan, Zahrul Nizam Salleh membuat keputusan untuk menangguhkan
perlawanan dan aksi akan disambung semula esok pada jam 4 petang di venue sama.
Situasi ini sudah pasti sedikit melegakan juara Liga Super empat
kali itu terutamanya selepas bergelut untuk mencari rentak apabila perlu beraksi
di atas permukaan padang yang bertakung selain turut ketinggalan satu gol.
Pada aksi terbabit, pelawat jelas mendominasi perlawanan yang
menyaksikan penyerang importnya, Gonzalo Cabrera menguji gawang Kuala Lumpur
seawal minit ketujuh namun dinafikan pertahanan sebelum sepakan gunting Luciano
Figueroa tepat ke dakapan Kamarul Effandi tiga minit berselang.
Kuala Lumpur yang sekali sekala mengasak hampir mencemaskan JDT
menerusi Paulo Josue namun percubaannya nyata belum cukup mengugat gawang yang
dikawal penjaga gol skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Haziq Nadzli pada minit
ke-16.
JDT mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului perlawanan
apabila gerakan Jorge Pereyra Diaz sekali lagi menghuru-harakan benteng
pertahanan Kuala Lumpur, namun percubaan Figueroa tersasar meskipun gawang tuan
rumah sudah terbuka luas pada minit ke-34.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur yang lebih banyak bertahan
mengejutkan JDT selepas penyudah kemas Josue berjaya mengegar gawang pelawat di
hujung babak pertama dan membolehkan tuan rumah menuju ke masa rehat dengan
kelebihan satu gol.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua terpaksa mengharungi
perlawanan dalam hujan dan beraksi di atas padang basah sekali gus menyaksikan
kedua-dua pasukan bergelut untuk mendapatkan rentak perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan