Aksi Harimau Selatan memukau


PENYERANG JDT, Luciano Figueroa (kanan) meraikan jaringan pertama oleh Hazwan Bakri dalam aksi menentang Persija Jakarta di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru kelmarin.


PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menundukkan wakil Indonesia, Persija Jakarta 3-0 dalam aksi peringkat Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru kelmarin.
Morais yang sebelum ini menjangkakan aksi sengit menentang Persija Jakarta turut lega apabila skuad Harimau Selatan dilihat berjaya memberi tentangan hebat apabila menguasai hampir keseluruhan perlawanan.
“Pemain memberikan persembahan baik sepanjang 90 minit perlawanan dengan menyumbat tiga gol. Tidak mustahil untuk kami menjaringkan lebih banyak gol kerana para pemain sudah melakukan yang terbaik,” katanya semalam.
Mengulas mengenai beberapa kesilapan yang dilakukan beberapa pemain pada perlawanan kelmarin, Morais mengakui memang terdapat pemain yang melakukan beberapa kesilapan kecil tetapi dia tetap positif dalam membaiki kesilapan tersebut.
“Kami tidak boleh sentiasa memikirkan kesilapan yang telah kami lakukan. Kami perlu fikir mengenai apa yang perlu dilakukan selepas ini untuk memperbaiki kesilapan tersebut. Perlu menjadi positif, bukan negatif,” katanya.
Sementara itu, pemain JDT yang mula mendapat tempat di hati peminat iaitu Corbin Ong memberitahu, kejayaan me­ngutip tiga mata adalah matlamat skuad Harimau Selatan pada perlawanan tersebut.
“Sasaran utama kami adalah untuk mengutip tiga, dan kami berjaya me­lakukannya dengan baik.
“Keserasian dan persefahaman antara pemain semakin baik dan tahap keyakinan kami juga turut meningkat,” ujarnya yang mula bermain sebagai kesebelasan utama pada setiap perlawanan JDT musim ini.

Ulasan