JOHOR BAHRU: Johor Darul
Ta'zim (JDT) tampak mengambil pendekatan berhati-hati apabila melayani
kunjungan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai saingan Liga
Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.
Pengendali JDT, Ulisses
Morais jelas gembira dengan prestasi barisan pemainnya yang pantas melupakan
kekalahan 2-5 kepada Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua kelayakan
Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini tatkala pemain memberi tumpuan
sepenuhnya dalam sesi latihan untuk berdepan skuad kendalian Ramon Marcote.
"Persiapan menentang
Kedah berjalan lancar dan juga kami memperbaiki apa jua kesilapan ketika
menentang Muangthong malah barisan pemain juga memahami kehendak taktikal yang
diterapkan.
Satu perlawanan berintensiti
tinggi apabila berdepan Kedah nanti dan kami jangkakan ia perlawanan sukar
memandangkan pasukan lawan memiliki barisan pemain terbaik malah ia aksi
pertama dalam saingan liga selain memburu kejuaraan Piala Sumbangsih kerana
kedua-dua pasukan inginkan kemenangan.
"Apapun kelebihan
memihak JDT kerana beraksi di depan penyokong sendiri dan saya berharap
penyokong menjadi pemangkin untuk kami beraksi cemerlang kerana mereka adalaH
pemain ke-12 JDT tetapi kami juga harus tidak boleh leka dan perlu berwaspada
dengan ancaman skuad Lang Merah," katanya.
Morais juga menegaskan
corak permainan pantas anak didik Marcote yang gemar beraksi dengan bola
umpanan pendek dan menyerang di posisi sayap kiri dan kanan selain kerap
menguasai bola di bahagian tengah harus diawasi dan perlu disekat.
Tambahnya, sepanjang
latihan menjelang pertembungan menentang Kedah, tumpuan lebih terarah memberi
fokus dalam gerakan pantas dan juga memperkemaskan lagi posisi pertahanan,
tengah dan serangan kerana ia penting untuk memastikan dominasi ketika beraksi
dalam perlawanan sebenar.
"Kami tahu Kedah
dibimbing jurulatih baharu dan mungkin tampil dengan corak permainan berbeza
namun kami akan membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan pasukan itu.
Kemungkinan juga Marcos Antonio akan kembali beraksi untuk memperkuatkan
benteng pertahanan selepas dia menunjukkan perkembangan positif sepanjang
latihan selepas kami tidak menurunkannya ketika aksi kelayakan ACL, baru-baru
ini ," kata Morais.
PENGENDALI JDT, Ulisses Morais jangkakan satu
perlawanan berintensiti tinggi apabila berdepan Kedah pada aksi Piala
Sumbangsih, Sabtu ini. - Foto Yazit Razali
Ulasan
Catat Ulasan