'Kami 'underdog' je... tak macam JDT'

KEDAH akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah yang juga perlawanan pembukaan Liga Super untuk Kedah di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin pada 3 Februari ini.
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata pertemuan menentang JDT di Stadium Larkin dijangka sengit memandangkan tuan rumah sebuah pasukan juara Liga Super yang mantap serta lengkap di setiap posisi.
“Kami akan tampil di Larkin sebagai pasukan ‘underdog’ namun tetap akan mempertahankan Piala Sumbangsih ini.
“Kami tahu JDT akan berhabis habisan sebab mahu menebus kembali kekalahan merebut piala ini musim lalu dan juga bangkit selepas kekalahan dengan Muangthong United dalam aksi kelayakan ACL, baru baru ini.”
“Memang bukan mudah buat kami kerana beraksi di Stadium Larkin tetapi kami akan pastikan mampu beraksi sebaik mungkin dan kalau rezeki berpihak kepada kami pada tahun ini, Piala Sumbangsih akan ke Darul Aman,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan Kedah, Baddrol berkata semua pemain telah menjalani latihan rapi dan tersusun yang diatur oleh jurulatih baru Kedah dari Sepanyol, Ramon Marcote.
“Berbanding tahun lepas, kali ini kami banyak mengikuti taktikal dan latihan baru yang diperkenalkan oleh jurulatih baru dan kami dapat rasakan corak dan perubahan dalam permainan pada perlawanan pra musim yang lalu.
“Mengenai tonggak pemain import yang mengalami kecederaan, saya berharap mereka pulih dengan segera dan kepada pemain muda saya yakin mereka mampu mengikuti perancangan yang dilakukan oleh ketua jurulatih.”
Dalam semua perlawanan pra musim yang bermula sejak 8 Januari lalu, Marcote menggabungkan corak taktikal pemain senior dan muda dalam pasukan dan ini adalah sebahagian strategi baru yang akan digunakan Kedah pada perlawanan pembukaan di Larkin nanti.

Ulasan